Thursday, 1 December 2011

Hidup Ini Satu Perjalanan

" Dulu aku pernah duduk berseorangan di atas bukit, aku lihat alam ini sangat luas ! Indah sangat ciptaan Allah. Dalam duduk tu, terdetik dalam hati, teringat dosa lampau. Kadang-kadang tu, terfikir jugak sampai bila mahu jadi begini? Kalau Allah tu tarik nyawa ni, sempat tak aku bertaubat? Dan kadang-kadang tu jugak, bila aku ingin berubah, banyak pulak ujian Allah turunkan, paling berat apabila ada cemuhan2. Tapi ingatlah, semua ini sebahagian dari warna kehidupan dan ujian Allah ini sedikit sebanyak mendekatkan diri kepada Allah. Hidup ini kan satu perjalanan. "



                                           
                                                               *Dari Lensa Broga*

Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat.

Perjalanan hidup yang panjang dan melalui beberapa fasa, membuatkan saya terfikir. Begitu banyak nikmat yang Allah berikan tanpa kita sedari. Mungkin pada awalnya, kita bersyukur dengan nikmat yang Allah kurnia, namun lama-kelamaan kita akan terlupa akan nikmat tersebut, sehinggalah, Allah yang Maha Pemberi nikmat itu, menarik kembali apa yang kita sangkakan telah menjadi milik kita yang kekal abadi. Kalau harini kita kaya tapi kalau Allah tu nak tarik harta kita, sekelip mata je kita jatuh miskin, kalau harini kita hidup bahagia, kalau Allah nak tarik kebahagian kita, sekelip mata je musnah rumah tangga yang telah lama dibina. MasyaAllah, Allah itu Maha Besar !Itulah dunia, penuh dengan istilah pinjam. Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya tetap insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing. Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepada-Nya.

Ingatlah sahabat semua, hanya Allah saja yang ada kuasa mutlak terhadap perjalanan ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa boleh menghalang-Nya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya.Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga.Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepada-Nya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.

Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan dalam meneruskan diari perjalanan kehidupan ini.

P/s : Hidup ini adalah sebuah perjalanan yang penuh dengan liku-liku ujian dariNya. Lihat dan renungilah alam ini, gunung ganang, lautan, hutan, panas, hujan, pokok. Tidakkah kita sedar kita ni hanyalah hambaNya yang kerdil dan lemah? Bermuhasabah dan mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa sebelum ini. Semoga kita sama sama menjadi kekasihNya =) Sabda Rasulullah saw,"Sebaik baik orang yang berhijrah ialah meninggalkan apa apa yang dilarang oleh Allah swt." (HR Al Tabarany)

No comments:

Post a Comment